7:03 AM
Gastrik dan Ulser
Antasid  adalah kumpulan produk farmaseutikal yang digunakan untuk merawat masalah tidak  hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak, sakit atau  pedih hulu hati dan penyakit ulser peptik.
    Apakah sistem  Gastrousus?    
Sistem  gastrousus dikenali juga sebagai sistem penghadaman. Ia terbahagi kepada  bahagian atas dan bawah. Sistem penghadaman bahagian bawah terdiri daripada  esofogus, perut, deudenum, jejunum dan ileum.
Dalam  keadaan normal, esofogus menyalurkan makanan dari mulut ke dalam perut melalui  proses peristalsis (pengecutan dan pengenduran otot). Di hujung bahagian bawah  esofogus terdapat sfinkter yang membenarkan dan mengawal makanan masuk ke dalam  perut serta menghalang kandungan dalam perut untuk masuk semula ke dalam  esofagus. Proses di mana makanan dalam perut masuk semula ke dalam esofogus  dikenali sebagai refluks.
Perut  terdiri daripada dua bahagian: proksimal dan distal yang berfungsi untuk  mengosongkan bahan yang berbentuk cecair dan pepejal. Di perut terdapat sfinkter  yang mengawal pengosongan perut. Perut yang mengeluarkan beberapa jenis rembesan  seperti enzim pepsin dan asid hidroklorik yang menjadikan jus dan cecair gastrik  yang diperlukan untuk mencerna makanan. Rembesan cecair gastrik berlaku dalam  beberapa keadaan atau fasa. Dalam fasa sefalik, rembesan perut dapat dihasilkan  biarpun ketika seseorang sedang berpuasa. Dalam fasa gastrik, kehadiran makanan  dalam perut akan merangsang rembesan perut. Satu lagi fasa ialah intestinal.  Dalam fasa ini, rembesan boleh direncat atau dirangsang oleh beberapa jenis  bahan kimia.
    Faktor merangsang dan merencat rembesan  perut    
Terdapat  beberapa bahan kimia dalam perut yang boleh merangsang penghasilan cecair atau  rembesan perut. Antaranya ialah asetilkolin, hormon gastrin, histamin dan enzim  protein kinase. Bahan-bahan kimia ini dihasilkan daripada rangsangan bahan  seperti asid amino, peptid, alkohol dan kalsium.
Sebaliknya, tedapat beberapa bahan yang boleh merencat rembesan  perut. Antaranya ialah bahan berlemak, larutan yang tinggi kepekatannya dan  kandungan gula yang tinggi dalam darah. Rembesan perut boleh menghakis dan  mencederakan lapisan dalam perut. Namun, lapisan gel mukus yang dihasilkan dalam  perut mampu melindungi perut daripada sebarang kecederaan dan dengan cepat.  Proses ini biasanya memakan masa sehingga 30 minit. Proses pertahanan dan  pembaikan lapisan perut dan usus merupakan faktor utama yang menentukan kejadian  ulser peptik.
Bahagian  duodenum menerima dan menyimpan makanan yang telah dihadamkan. Makanan itu  kemudiannya  disalurkan ke bahagian distal perut. Di sini rembesan gastrik  bercampur dengan makanan sebelum disalurkan ke bahagian duodenum (bahagian atas  usus kecil). Kadar pengosongan perut dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti  hormon, larutan yang pekat, larutan berasid, bahan berlemak dan perut yang  distensi (kembung).
Perut  sentiasa terdedah kepada persekitaran luar kerana pelbagai bahan dapat masuk ke  dalamnya. Inflamasi atau radang yang akut (segera) atau kronik (berpanjangan)  dapat berlaku kepada sistem gastrousus jika mekanisme pertahanan gagal mengawal  keadaan.
  Jenis gangguan sistem gastrousus    
Terdapat  dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus:
a)  Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus
 Refluks gastroesofagus   
Aliran  kandungan daripada perut atau deudenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung  kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.
 Gastritis  
Inflamasi  pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebakan keradangan ialah  ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.
 Esofagitis  
Inflamasi  pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum.  Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.
 Dispepsia (bukan  ulser) 
Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas  makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan  penghadaman.
 Ulser akibat ubat dan bahan  kimia 
Hakisan  dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat,  alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.
 Ulser akibat  tekanan 
Hakisan  dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan  esofagus akibat tekanan emosi.
b)  Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus
 Gastritis kronik 
Berlaku  kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut  untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat  antara masalah ini dengan tabiat merokok.
 Penyakit ulser peptik  
Secara  umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini  merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut  (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh   kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada  bahagian lapisan perut.
Selain  itu, ia ada kaitan dengan kesan  menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling  kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik  membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal  kerana ia melibatkan kemasukan ke haspital, kos profesional kesihatan dan kos  ubat-ubatan serta kos daripada sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat  bekerja dalam tempoh yang lama.
 Ulser gastrik 
Merujuk  kepada ulser perut. Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau  normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang  sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan  oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan  berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau  najis.
Kesakitan  dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60  hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan  bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit  apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan  kehilangan berat badan.
 Ulser duodenal 
Ia  disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa  sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu  makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit  ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan  berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah  rasa sakit.
Antara  faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol,  tekanan, asid dan pepsin, dan kuman bakteria Helicobactor pylori.
 Rawatan 
Pesakit  boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua  in bergantung kepada tahap serta  jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika  rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti  gastritis akut tanpa pendarahan dan redluks, pesakit boleh mengamalkan  swa-pengubatan dengan berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat  yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit  mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah  makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan  emosi.
Individu  yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan  berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut  harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu  mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana  pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau  duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser  gastrik.
Beberapa  kelas ubat-ubatan boleh digunakan bergantung kepada jenis dan tahap masalah  tersebut. Secara ringkas, ia terdiri daripada kumpulan antasid, kumpulan  antibiotik, kumpulan antagonis (atau penghalang) reseptor H2, penghalang pam  asid dan ubat-ubatan pelindung lapisan mukosa.
Dengan  adanya pengetahuan tentang proses berlaku gastitis dan ulser, faktor penyebab  dan rawatan yang tepat, masalah yang dihadapi oleh individu boleh  dirawat.